Kemusykilan Mengenai 9:128 - 129

Aisha Y. Musa
Hakcipta Terpelihara

Sejarah bagi pengumpulan teks al-Qur'an menunjukkan bahawa potongan ayat-ayat di penghujung Surah at-Tauba yakni surah 9 ayat-ayat 128/129 berbeza daripada ayat-ayat yang lain dalam al-Qur'an dari segi jumlah laporan-laporan mengenainya dan juga dari berbagai-bagai percanggahan dalam laporan bersabit dengan pengumpulan dan peletakan ayat-ayat tersebut ke dalam al-Qur'an.

Laporan-laporan ini dibawa oleh tokoh-tokoh Islam yang diakui dan disegani seperti al-Bukhari dan Jalaludin al-Suyuti (diantara lain). Laporan-laporan ini adalah daripada sumber-sumber Muslim yang sahih dan ortodoks dan bukanlah daripada sumber heterodoks yang sempit atau ajaran pembidaah-pembidaah yang menyeleweng. Ayat-ayat ini adalah istimewa dalam dua aspek.

Abu Abdullah Muhammad al-Bukhari (m. 256 AH/870 CE) adalah pengumpul hadis-hadis Rasullulah yang terkenal. Al-Jami'al al-Sahih merupakan hasil kerjanya yang terkemuka dan merupakan satu koleksi hadis-hadis yang paling sahih dan juga menjadi rujukan yang paling penting selepas al-Qur'an bagi umat Islam.

Jalaludin al-Suyuti (m. 1509 CE) terkenal sebagai seorang para ilmuwan yang mashyur dan seorang tokoh dalam pelbagai bidang yang telah menghasilkan banyak tulisan-tulisan yang penting. Satu daripadanya yang ada kaitan dengan diskusi kita di sini ialah Al-ltqan fi 'Ulumil-Quran, satu hasil kerjanya yang paling luas dalam bidang kajian al-Quran.

Kita akan mengkaji beberapa laporan yang terdapat di dalam kerja-kerja ini termasuk dalam hasil-hasil kerja-kerja yang lain yang ada kaitannya dengan Surah 9 ayat-ayat 128 & 129, serta meneliti beberapa soalan yang ditimbulkan oleh laporan-laporan tersebut mengenai proses koleksi teks tersebut dan garis panduan yang telah digunakan baikpun bagi menyematkan ayat-ayat ke dalam teks, ataupun menggugurkan mana-mana ayat-ayat yang berkenaan. Kita akan memerhatikan beberapa tindakbalas yang telah diusul oleh tokoh-tokoh berhemat mengenai hal ini serta meneliti isu-isu yang masih lagi belum dijawab.

Ayat-ayat tersebut adalah unik dalam dua perkara. Yang pertamanya, umat Islam mempersetujui secara umumnya bahawa Tuhan telah menentukan susunan ayat-ayat al-Qur'an (al-Suyuti Jilid 1, 60). Akan tetapi, terdapat beberapa laporan yang menunjukkan bahawa peletakan surah 9/128 dan 129 ke dalam al-Qur'an diputuskan oleh orang-orang lain selepas wafatnya Nabi Muhammad. Keduanya, walaupun ayat-ayat yang lain memerlukan persetujuan sekurang-kurangnya dua orang saksi yang sah sebelum diturunkan ke dalam nas al-Qur'an, ada laporan yang menunjukkan ayat-ayat 9/128 dan 129 telah dijumpai hanya pada seorang sahaja.

Terdapat laporan yang berbeza-beza mengenai siapakah orang itu, dan keadaan di mana ayat-ayat tersebut disemat ke dalam al-Qur'an. Tetapi setiap laporan itu menyatakan hanya seorang sahaja yang menjadi saksi kepada peletakan ayat-ayat itu.

Dua orang yang penting telah disebut di dalam laporan-laporan ini iaitu Zaid bin Thabit dan Ubai bin Kabb. Kedua-dua adalah daripada Madinah dan masing-masing telah menjawat jawatan setiausaha kepada Nabi Muhammad. Merekalah terutamanya yang bertanggungjawab mencatitkan ayat-ayat al-Quran sambil ayat-ayat tersebut diwahyukan. Di dalam karangannya 'Sejarah', al-Tabari telah melaporkan bahawa Ubailah yang mula-mulanya telah mencatit untuk nabi Muhammad di Madinah (Jilid 9,147). Sumber-sumber yang lain menyatakan bahawa Zaid bin Thabit adalah terlalu muda pada masa peristiwa Hijrah - iaitu semasa penghijrahan nabi Muhammad dari Makkah ke Madinah pada 622 T.M. semasa Zaid hanya berusia 11 tahun. Walaupun Zaid belum lagi boleh dianggap matang sebab dia masih juvana, kepintarannya dan kefasihan beliau di dalam berbagai bahasa melayakkannya sebagai satu daripada setiausaha yang terpenting kepada nabi Muhammad. Zaidlah yang ditugaskan dengan tanggungjawab mengumpul serta menyusun nas Al-Qur'an selepas wafatnya Nabi Muhammad (Encyclopedia of Islam,1, viii,1194b-1195a).

Bukti-bukti awal yang menunjukkan keunikan ayat-ayat 9/128-129 timbul dalam cerita yang dilaporkan oleh al-Bukhari berhubung dengan pengumpulan al-Quran semasa pemerintahan Kalifah Abu Bakar. Setelah menceritakan bagaimana kalifah-kalifah Abu Bakar dan Omar meyakinkannya untuk menyandang tugas pengumpulan ayat-ayat al-Quran, Zaid bin Thabit telah berkata:

Jadi saya telah mengumpul ayat-ayat al-Quran daripada ranting-ranting daun berpelepah, batu-batu putih yang nipis dan leper dan daripada hati manusia, sehingga saya terjumpa dengan penghujung Surah at-Tauba dengan Abu Khuzaima al-Ansari. Saya tidak berjumpa ayat-ayat tersebut selain daripada dengan beliau : 'Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari bangsamu, yang amat berat baginya kesusahan kamu ….' ..sehingga penghabisan nya (al-Bukhari, Matn jilid 3, 225).

Terdapat tiga laporan yang berbeza mengenai cerita ini mengikut al-Bukhari : Daripada catatannya mengenai pengumpulan ayat-ayat al-Quran (dipetik diatas), daripada sejarah pencatit kepada Rasul dan daripada penjelasannya berkenaan Surah Bara'a (at-tauba).

Ada yang menyatakan ayat-ayat itu dijumpa dengan Khuzaima al-Ansari dan bukan Abu Khuzaima (al-Bukhari, Matn;Jilid 3,140,226). Cerita ini mungkin berupa laporan yang paling banyak kali diulangi bersabit dengan hal diatas oleh kerana setiap catatan sejarah mengenai pengumpulan al-Quran ada menyebutkannya.

Satu lagi ayat, iaitu S/33 ayat 21, mengalami laporan yang sama dengan disebut bersama-sama dengan Khuzaima al-Ansari. Kedua-dua laporan ini boleh diperolehi daripada al-Bukhari, dalam perbincangannya berkenaan pengumpulan al-Qur'an dibawah kalifah Othman, juga di dalam bahagian penjelasan surah 33 (al-ahzab). Yang keduanya memetik daripada Zaid bin Thabit sebagai berkata:

Apabila kami menyalin nashkah-nashkah itu ke dalam jilid-jilid, saya tidak dapat mengesan ayat daripada surah al-Ahzab yang sering saya telah mendengar dilafazkan oleh Rasullulah (saw). Ayat-ayat itu tidak dapat saya terjumpa selain daripada Khuzaima al-Ansari, yang telah disebut oleh Rasullulah (saw) sebagai sah mempunyai kesaksian seramai dua orang. (al-Bukhari, Matn jilid 3, 175)

Laporan ini mempunyai perbezaan besar kalau dibanding dengan laporan mengenai Surah 9/128-129 kerana di sini Zaid berkata dia lazimnya mendengar Rasullulah melafazkan ayat-ayat tersebut. Tetapi dalam laporannya berhubung dengan penghujung surah at-Tauba dia berkata dia tidak berjumpa ayat-ayat itu dengan mana-mana pihak lain.

Cerita mengenai ayat-ayat surah al-Ahzab ini adalah satu-satunya laporan di dalam al-Bukhari yang memberikan kedudukan istimewa kepada kesaksian Khuzaima. Akan tetapi ini adalah perkara ganjil kerana Zaid sendiri melaporkan yang dia ada mendengar ayat ini daripada nabi Muhammad dan ini menjadikan Zaid saksi yang kedua. Satu lagi laporan yang sama, mengenai pengumpulan al-Quran, tidak mengadakan kedudukan yang istimewa bagi kesaksian itu. Tidak pula keistimewaan ini disebut dalam mana-mana laporan al-Bukhari daripada Zaid b.Thabit bersabit dengan S.9/128-129. Akan tetapi diatas kesaksian Zaid ini sajalah; daripada laporan tunggal inilah telah membawa kepada kemasukan dua ayat-ayat ini kedalam al-Qur'an.

Walaupun tidak didapati dalam koleksi al-Bukhari, terdapat didalam al-Burhan fi'Ulum al-Qur'an, dimana al-Zarkashi memetik daripada satu laporan yang berbeza sedikit mengenai pengumpulan ayat-ayat di bawah perintah Abu Bakar, memetik daripada al-Bukhari sebagai sumbernya, yang berkata: 'kesaksian Abu Khuzaima al-Ansari telah diterima sebagai kesaksian dua orang lelaki (ini telah dibenarkan) oleh Rasullulah (Saw) (al-Zarkashi Jilid 1,234).

Daripada Itqan pula, al-Suyuti membuat petikan yang serasi dengan koleksi al-Bukhari yang digunakan disini. Tetapi didalam diskusi 'jumlah saksi-saksi'nya dia telah merujuk daripada Ibn Ashta iaitu Kitab al-Masahif :

Orang ramai akan mendatangi Zaid bin Thabit tetapi dia hanya akan mencatat ayat-ayat di atas kesaksian dua orang yang berwibawa sahaja. Walaupun penghujung surah al-Bara'a tidak dijumpai dengan sesiapa kecuali Khuzaima, Zaid bin Thabit berkata 'Catitkannya, sebab rasullulah (saw) telah menjadikan kesaksiannya (iaitu Khuzaima) sebagai kesaksian dua orang lelaki. Jadi ia telah dicatitkan, walaupun Omar telah membawa ayat-ayat mengenai 'Rejam dengan batu', ayat-ayat tersebut tidak dicatitkan oleh kerana dia seorang diri (membawa ayat-ayat itu). (Ibn Ashta, dlm.al-Suyuti,Jilid 1, 58).

Kedudukan istimewa yang kononnya diberikan kepada laporan-laporan Khuzaima (Abu Khuzaima) oleh nabi Muhammad merupakan satu cara menghadapi, maupun mengatasi, masalah jumlah saksi-saksi yang tidak konsisten. Satu lagi hujah yang disebut oleh al-Suyuti ialah 'dua saksi' bermaksud satu saksi yang dicatit dan satu lagi 'yang dihafal'. Dia menyebut dua pandangan tentang hujah ini. Satu ialah: catitan tanpa penghafalan tidak mencukupi dan satu lagi pula ialah: penghafalan tanpa catatan juga tidak memadai. Jadi apabila Zaid bin Thabit melaporkan ..."Saya tidak berjumpa ayat-ayat tersebut selain daripada dengan beliau", ini bermaksud bahawa Zaid tidak menjumpai ayat-ayat itu secara bertulis dengan sesiapa lagi (al-Suyuti; Jilid 1,58).

Tuntutan ini bermaksud bahawa ayat-ayat ini telah dihafal oleh orang lain. Akan tetapi, kalaulah ini adalah benar dan kalau penghafalan dan catatan menjadi dua saksi-saksi yang mencukupi, mengapakah perkara Khuzaima sebagai hanya satu saksi yang tunggal telah menjadi suatu hal (yang memerlukan penglibatan Nabi memutuskannya) ? Kita akan melihat perbincangan apa merupakan 'Dua saksi' ini menjadi lebih penting didalam konteks laporan-laporan lain bersabit dengan surah 9/128-129.

Sehingga ini, kita hanya telah mengkaji laporan-laporan daripada al-Bukhari. Tetapi apakah mengenai banyak laporan-laporan lain yang menyebut saksi-saksi lain yang memberi laporan mereka secara solo atau tunggal sahaja? Atau mereka yang membuat laporan dalam keadaan yang berlainan. Dala laporan2 Zaid b.Thabit hanya Khuzaima atau Abu Khuzaima disabitkan dengan 9/128,129. Tetapi ada juga beberapa laporan-laporan daripada al-Suyuti serta sumber-sumber lain yang mengemukakan gambaran lain mengenai ayat-ayat ini dan peletakan mereka kedalam nas al-Qur'an.

Jumlah terbesar laporan-laporan yang berbeza-beza terdapat di dalam Kitab al-Masahif oleh Ibn Abu Dawud al-Sijistani (men.316 TH), anak kepada pengumpul hadis-hadis yang terkemuka-iaitu Abu Dawud, dia menghasilkan Sunannya yaitu satu daripada enam koleksi hadis sahih yang diterima oleh umat Islam Sunni. Hasil penting ini dijumpai dan disunting oleh Arthur Jeffery pada awal abad kedua-puluh ini. Minat beliau menumpu kepada huraian rapi Ibn Abu Dawud beberapa kodis-kodis al-Quran yang berbeza-beza; lebih daripada koleksi laporan-laporan yang menceritakan bagaimana teks tersebut telah dikumpulkan.

Disamping laporan-laporan berkaitan dengan koleksi Abu Bakar dan Uthman, Ibn Abu Dawud juga mengadakan satu bahagian laporannya yang menyentuh koleksi Omar bin al-Khattab dan satu bahagian khusus bagi laporan-laporan pengumpulan S.9/128,129. Sama seperti cerita berbeza-beza lain yang terkandung didalam al-Bukhari, Ibn Abu Dawud pun melaporkan sesuatu yang amat berbeza :

Diatas kesaksian Ubai bin Kab, mereka mengumpulkan Qur'an daripada koleksi Ubai. Ada kaum lelaki yang sedang mencatat sambil Ubai bin Kab mengimlakkan kepada mereka. Apabila mereka sampai ke penghujung surah Bara'a (S.9 ayat 127): ..Allah memalingkan hati mereka, kerana mereka kaum yang tiada mengerti …mereka menuntut bahawa itulah penghujung ayatnya yang diwahyukan oleh Tuhan. Lepas itu, Ubai berkata,"Rasullulah(Saw) telah menyuruh saya melafazkan dua ayat selepas ini..:Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari bangsamu, yang amat berat baginya kesusahan kamu serta harap akan keimananmu, lagi sangat kasihan dan penyayang kepada orang yang beriman…,"..sehingga penghabisan nya surah itu. Dia kata, "Jadi inilah penghabisan apa yang telah diwahyukan dalam al-Qur'an" (Ibn Abu Dawud jilid 2,30).

Laporan diatas adalah daripada bahagian ayat-ayat 9/128,129. Cerita yang sama terdapat dalam laporan pengumpulan Abu Bakar, dimana ia berkata peristiwa ini telah berlaku pada masa itu (Jil.1,9). Laporan ini menimbulkan beberapa perkara penting. Pertama, ia tidak sebut Zaid ataupun Khuzaima. Sebaliknya kita melihat hanya Ubai bin Kab yang mengetahui ayat-ayat yang berkenaan. Pembaca yang lain percayai 9/127 sebagai penghabisan Surah tersebut dan juga wahyunya. Ia juga menyatakan Ubai yang berimlak kepada pencatit-pencatit daripada mushafnya. Ini menunjukkan bahawa Ubai bukan sahaja tahu akan ayat2 itu tetapi mempunyai catatan-catatan mereka. Jikalau Ubai mengetahui akan potongan ayat-ayat ini dan memiliki mereka secara bertulis didalam mushafnya, bagaimanakah Zaid boleh menjumpai mereka hanya dengan Khuzaima (atau Abu Khuzaima) ?

Adalah penting bagi mengingati bahawa Zaid dan Ubai kedua-dua adalah setiausaha-setiausaha utama kepada nabi Muhammad dan adalah rakan-rakan karibnya. Merekalah yang bertanggungjawab mencatatkan ayat-ayat al-Quran, sambil wahyu-wahyu diturunkan. Tidak masuk akal jika dicadangkan orang bahawa mereka tidak masing-masing saling tahu-mengetahui apa yang dicatitkan sesama sendiri.

Mungkin ada yang mencadang bahawa imlakan tersebut diadakan berdasar kepada apa yang telah dikumpul oleh Zaid. Tetapi jika itu benar, Zaid telah pun mengesahkan kesahihan dan perletakan S.9/128 & 129 mengikut mashafnya. Kenapa pula pencatit-pencatit imlakan itu berfikir 9 ayat 127 itu adalah penghabisan wahyu itu ?

Lagi pun, Ubai telah berkata ayat-ayat itu adalah penghabisan apa yang telah diwahyukan dalam al-Quran. Ini bererti mereka telah diwahyukan di Madinah. Tetapi mengikut pandangan yang lazim diterima, ayat2 ini telah diturunkan di Mekah. Al-Suyuti memetik cerita yang sama sambil menyatakan Ibn Abu Dawud sebagai sumbernya, walaupun dengan yang kecil tetapi sangat penting :

Diatas kesaksian Ubai bin Kab, mereka sedang mengumpulkan Qur,an. Apabila mereka sampai ke penghujung surah Bara'a (S.9 ayat 127): ..Allah memalingkan hati mereka, kerana mereka kaum yang tiada mengerti …mereka berfikir bahawa itulah penghujung ayatnya yang diwahyukan. Lepas itu, Ubai berkata, "Rasullulah(Saw) telah menyuruh saya melafazkan dua ayat selepas ini..:Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari bangsamu …," ..sehingga penghabisannya surah itu. Dia berkata, "Di wahyukan di Makkah" (Al-Suyuti Jilid 1,61).

Di dalam kedua-dua laporan Abu Dawud iaitu berkenaan dengan pengumpulan Abu Bakar mahupun bersabit dengan S.9/128-129; tidak ada sebutan bahawa Ubai berkata "Diwahyukan di Makkah." Isu Bila ayat-ayat ini diwahyukan adalah penting. Kalaulah di Makkah, apakah ayat-ayat ini hanya diketahui oleh seorang lelaki sahaja - Khuzaima ataupun Ubai - dari Madinah ? Tidakkah ada satu diantara para Muslim yang telah berhijrah dari Makkah sewaktu itu yang telah menghafal atau pun mencatit nas tersebut ?

Ada lagi soalan-soalan yang timbul akibat daripada dua lagi laporan yang dibawa oleh Ibn Abu Dawud. Di bahagian awal laporan mengenai S.9/128-129 dia berkata:

Ibn Zubair telah melapor,"Al-Harith ibn Khuzaima membawa dua potongan ayat dari penghujung Surah Bara'a : ..:Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari bangsamu, yang amat berat baginya kesusahan kamu serta harap akan keimananmu, lagi sangat kasihan dan penyayang kpd.orang2 yang beriman…,"..sehingga "Dia Tuhan Arasy' yang besar." Petikan ayat ini telah dibawa olehnya ke Omar. Jadi Omar menanyakannya : "Siapakah yang bersetuju dengan kamu dalam hal ini?". Al-Harith menjawab," Saya hanya tahu yang saya saksi bahawa saya telah dengar ayat-ayat ini daripada Rasullulah (saw). Kemudian Omar berkata,"Dan saya bersaksi bahawa saya mendengar ayat-ayat ini daripada Rasullulah (saw)." Kemudian dia kata, "Kalau nas-nas itu sebanyak tiga ayat, saya dapat mengubah satu surah lagi yang berasingan. Jadi, mereka mencari surah-surah Al-Quran dan telah mencantum nas tersebut kepada surah yang sesuai…akibatnya nas itu dicantumkan ke penghabisan Surah Bara'a (Tauba). (Jilid 2, 30)

Cerita ini menambahkan al-Harith ibn Khuzaima dan Omar kedalam senarai nama-nama meraka yang dilaporkan sebagai mengetahui nas 9/128-129, dimana Omar menyokong kesaksian al-Harith.

Jika Omar telah mendengar nas-nas tersebut yang dilafaz oleh Rasullulah, mengapakah Zaid bin Thabit telah melaporkan bahawa ayat-ayat tersebut dijumpai hanya pada Khuzaima (atau Abu Khuzaima) ? Apakah yang dimaksudkan oleh hujah al-Suyuti mengenai 'dua saksi"?

Ini juga menunjukkan bahawa mereka telah menggunakan hemat-hemat meraka sendiri bagi memutuskan dimana peletakan ayat-ayat tertentu di dalam nas Kitab. Dalam perbincangannya berkenaan laporan ini, al-Suyuti berkata :

Ibn Hajar berkata, "Ini menunjukkan bahawa mereka telah menyusun ayat-ayat surah-surah itu menurut pendapat dan hemat mereka sendiri (ijtihad), sedangkan laporan lain menunjukkan mereka tidak melakukan apa-apa kecuali yang dibenarkan Tuhan (tawqif)". (Jilid 1, 61).

Laporan terakhir yang disampaikan oleh IbnAbu Dawud menyatakan Khuzaima ibn Thabit membawakan laporan itu, tetapi dalam keadaan yang amat berbeza daripada laporan-laporan yang lain yang telah melibatkan beliau :

Jadi, Othman ibn Affan berdiri lalu mengucap, "Sesiapa yang ada apa-apa daripada Kitab Tuhan, biarlah dibawakannya kepada kita." Dan kesaksian mana-mana pihak tidak akan diterima kecuali disokong oleh dua orang saksi. Kemudian Khuzaima ibn Thabit telah datang lalu berkata,"Saya lihat bahawa kamu telah tinggalkan dua potong ayat yang tidak dicatitkan olehmu." Mereka menjawab, "Apakah ayat-ayat itu ?" Lalu dia menjawab, "Saya telah belajar dari Rasullulah (SAW) (S.9/128): ..:Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari bangsamu, yang amat berat baginya kesusahan kamu serta harap akan keimananmu, lagi sangat kasihan dan penyayang kpd.orang2 yang beriman," sehingga penghabisan surah itu. Othman telah berkata, "Saya naik saksi yang ayat-ayat ini adalah dari Tuhan. Jadi di manakah sepatutnya kamu meletakkan ayat-ayat ini ?" Dia berkata, Sudahkan apa yang di penghujung al-Quran dengan ayat-ayat itu." Jadi Surah Bara'a disudahi dengan ayat2 tersebut. (Jilid 2, 31)

Sekali lagi, kita bersua dengan beberapa isu-isu yang penting. Pertamanya, Khuzaima memaklumkan kepada Othman yang dua ayat-ayat itu telah ditinggalkan daripada kandungan al-Quran. Ini bermaksud bahawa pengumpulan dan pencatitan nas-nas Kitab suci sudah pun berlaku. Mengapakah Khuzaima telah pergi menghadap Othman membawa ayat-ayat tersebut walhal ayat-ayat itu sudah pun dikumpulkan oleh Zaid ? Lebih-lebih lagi, apakah sebabnya Othman telah meminta Khuzaima memutuskan dimana letaknya ayat-ayat itu jika mereka sudahpun dikumpul oleh Zaid ?

Keduanya, disini tidak disebutkan bahawa Khuzaima adalah saksi tunggal kepada pengumpulan S.9/128-129. Atau pun disebut bahawa kesaksiannya setaraf dengan kesaksian dua orang lelaki. Sebenarnya, disini, Othmanlah saksi yang kedua kepada pengesahan ayat-ayat itu. Jika Othman mengenal nas-nas itu dan boleh mengesahkannya, macam manakah Zaid dapat menjumpai nas-nas itu hanya pada Khuzaima ?

Laporan-laporan dan saksi-saksi ini yang berkaitan dengan S 9/128-129 membawa kita kepada beberapa soalan-soalan penting yang belum lagi dijawab: Siapakah yang mengenal ayat-ayat ini? Adakah Khuzaima, Abu Khuzaima, Harith bin Khuzaima atau pun Ubai bin Kab? Adakah ayat-ayat ini diturunkan di Makkah, atau pun di Madinah? Bilakah dan bagaimanakah ayat-ayat ini disematkan kedalam teks al-Quran?

Satu penjelasan bagi laporan-laporan itu dan kemusykilan yang timbul akibat cerita-cerita tersebut ialah kebanyakan laporan-laporan itu adalah tidak sah dan oleh itu mereka telah ditolak. Kesahihan lazimnya telah ditentukan melalui menyelidiki pertalian diantara pembawa-pembawa laporan-laporan tersebut (isnad). Berkenaan dengan hal ini, Jeffery telah bertulis didalam mukadimahnya:

Isnad-isnad yang dipetik oleh penulis (laporan) itulah yang membawa kerumitan yang paling sulit. Walaupun mungkin ada 'langkah-langkah' yang diambil untuk memelihara kesahihan laporan-laporan tersebut, masih terdapat kemusykilan yang timbul akibat penyelidikan rapi oleh pengkaji-pengkaji isnad itu. Pertolongan para ilmuwan Islam dalam perkara ini pula tidak begitu berkesan kerana prinsip yang dipegangi (mereka) bahawa mana-mana isnad yang mengesan kenyataan yang bercanggah dengan pegangan ortodoks mereka akan ditolak dan dikutuk sama sekali (viii).

Kita telah memerhati bahawa al-Suyuti merujuk kepada beberapa laporan Abu Dawud dalam perbincangannya berkenaan pengumpulan al-Quran…dan beliau telah menyatakan bahawa terdapat laporan-laporan yang lemah oleh kerana ada masalah-masalah yang bersabit dengan isnad-isnad mereka.

Laporan-laporan ini dan soalan-soalan yang timbul akibat hakikat ini adalah perkara mustahak menurut al-Suyuti dari Itqannya:

Di atas kesaksian Muhammad ibn Sirin, yang telah menjadi saksi kepada 'Ikrima, yang telah berkata "Selepas pertabalan Abu Bakar, Ali bin Abu Talib tidak keluar dari rumahnya (pergi menghadapnya). Jadi ada laporan yang disampaikan kepada Abu Bakar bahawa :"Dia (Ali bin Abu Talib) pantang menjunjung kesetiaan kepadamu." Jadi Abu Bakar telah perintahkan Ali bin Abu Talib datang menghadap lalu menanyakannya, "Adakah kamu pantang menjunjung kesetiaan kepada saya?" Dia menjawab,"Tidak, demi Tuhan." Abu Bakar berkata, "Apakah kamu tersinggung oleh kerana saya?" Ali menjawab, 'Saya fikir sesuatu telah ditambahkan ke dalam Kitab Tuhan.

Jadi saya telah berazam tidak akan salin baju saya dan keluar di jalanraya kecuali untuk Sembahyang Jumaat sehingga perkara ini diselesaikan.'" (Jilid 1, 57-58).

Ali bin Abu Talib tidak menyatakan apa yang telah ditambahkan, akan tetapi ini adalah satu tuduhan yang amat serius. Walau pun terdapat laporan-laporan yang berbeza-beza dan bercanggah berkenaan beberapa ayat-ayat al-Qur'an mengenai maksud, tafsiran atau pun keadaan pengwahyuan meraka; tiada nas seperti ayat-ayat di atas yang mempunyai banyak laporan-laporan yang berbeza-beza bersabit dengan pengumpulan dan perletakan mereka ke dalam teks. Adakah ayat-ayat inilah yang telah menyinggung perasaan Ali bin Abu Talib sehingga dia enggan keluar dari rumahnya kecuali untuk sembahyang?


SENARAI BUKU-BUKU

Ahmad ibn Hanbal. Musnad.Jilid 5. Kaherah: 1313-1896.

Al-Bukhari, Abu Abdullah Muhammad bin Ismail. Matn'. Al-Bukhari, Jilid 3-4 (N.P.): Isa al-Halabi and Company, 1981.

Sahih Al-Bukhari, Penterjemah Dr.Muhsin Khan Jilid 6. Madinah: Universiti Islam, 1981.

Ibn Abu Dawud. Kitab al-Masahif. Penyuting Arthur Jeffery. Leiden: E.J. Brill, 1937.

Jeffery, Arthur. Materials for the History of the Text of the Qur'an. The Old Codices. Leiden: E.J. Brill, 1937.

The Qur'an as Scripture. New York: Russel F. Moore Company,Inc. 1952.

Dua mukadimah kepada ilmu Al-Qur'an : Mukadimah kepada 'Kitab al-Mabani' dan Mukadimah ibn 'Atiyya mengenai Tafsirnya. Kaherah: Al-Khaniji Adik-beradik, 1954.

Nolin, Kenneth E. The Itqan and its Sources: A Study of al Itqan fi 'Ulum al-Quran by Jalaludin al-Suyuti with reference to al-Burhan fi'Ulum al-Qur'an by Badr al-Din al-Zarkashi. Ann Arbor: Mikrofilem Universiti.

International Dissertation Services, 1968. Al-Said, Labib. The Recited Koran: A History of the First Recorded Version diterjemahkan oleh: Bernard Weiss. M.A. Rauf, Monroe Berger. Princeton, N.J.:The Darwin Press, 1975.

Al-Saydawi, Yusuf. Baidat al-Dik: Naqdun il Kitab 'al-Kitab wal' Quran. (Tidak bertarikh).

Sharur, Muhammad. Al-Kitab wal'-Qur'an: Qira'tun Mu`asiratun. Edisi Semakan Kelima. Damsyik:al-Ahali, 1992.

Al-Suyuti, Jalal al-Din. Al-Itqan fi`Ulumil-Qur'an. Lahore: Akademi Suhail, 1980.

Von Denffer, Ahmad. `Ulum al-Qur,an: An Introduction to the Sciences of the Qur'an. Leicester, U.K.: The Islamic Foundation, 1983. Watt, W.Montgomery. Bell's Introduction to the Qur'an. Revised and Enlarged. Edinburgh: Edinburgh University Press, 1977.

Al-Zarkashi, Badr al-Din Muhammad, Abdullah. Al-Burhan fi `Ulum al-Qur'an. Jilid 1-2 Isa al-Halabi and Company, 1957.


Homepej-homepej Bahasa Melayu dan Indonesia
Answering Islam Main Site (English)